MAJLIS APRESIASI PERSIDANGAN MEDIA ISLAM SERANTAU (RIMeC’26 02-04 Jun 2026)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Rabu, 3 Jun 2026 – Dalam menghargai sumbangan, komitmen dan penyertaan para peserta, pembentang, rakan strategik serta pihak yang terlibat dalam menjayakan Persidangan Media Islam Serantau 2026 (RIMeC’26), Majlis Apresiasi RIMeC’26 telah diadakan di Rizqun International Hotel.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.

Turut hadir ialah Yang Berbahagia Profesor Madya Dato’ Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da’wah Islamiah.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Yang Mulia Professor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan penganjuran RIMeC’26 sebagai platform ilmiah yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal media dan institusi berkaitan dari dalam dan luar negara. Beliau juga menekankan bahawa media Islam perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi seperti AI, penyiaran digital, komunikasi virtual dan journalism pintar, namun tetap berpegang kepada prinsip syariah, integriti ilmu dan adab. Dunia digital dilihat membuka peluang besar untuk memperkasa da’wah, tetapi pada masa yang sama menuntut literasi media dalam menghadapi manipulasi maklumat, budaya sensasi dan kandungan tidak beretika.

Majlis tersebut turut menyaksikan acara penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA dan Yang Berbahagia Profesor Madya Dato’ Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM.

Majlis juga turut menyaksikan penyampaian sijil pelantikan Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) kepada pihak IKIM, diikuti dengan penyerahan sijil pengiktirafan kualiti akademik kepada Pihak UNISSA.

Kerjasama strategik ini diharap dapat memperkukuh hubungan institusi dalam bidang media Islam, penyelidikan, penerbitan, latihan, pembangunan akademik serta perkongsian kepakaran di peringkat serantau.

Selain itu, majlis turut menampilkan pengumuman Anugerah Kertas Kerja Terbaik sebagai penghargaan kepada pembentangan kertas kerja yang cemerlang sepanjang persidangan berlangsung. Penghargaan ini bertujuan menggalakkan budaya penyelidikan berkualiti serta memberi penghargaan kepada para pembentang yang telah menyumbang idea, dapatan kajian dan perspektif baharu dalam memperkasa wacana media Islam.

Majlis Apresiasi RIMeC’26 diharap dapat menjadi platform bagi mempererat hubungan profesional dan ukhuwah antara peserta, institusi akademik serta organisasi media Islam serantau. Penganjuran majlis ini juga mencerminkan komitmen UNISSA dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau, membudayakan penyelidikan berimpak tinggi dan memartabatkan media Islam sebagai medium da’wah, pendidikan dan pembangunan masyarakat yang relevan dengan cabaran semasa.