Share News
Recent News

BFI and UNISSA Ink Memorandum of Understanding to Advance Industry-Academia Collaboration
Gadong, 7 May 2026 – Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd and Universiti Islam Sultan Sharif
EKSPLORASI KERJAYA 6.0: Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri
Bandar Seri Begawan, 18 Mei 2026 – Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Alumni serta Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN) telah menganjurkan program Eksplorasi Kerjaya 6.0 bertempat di Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah, Biro Kawalan Narkotik pada Isnin, 1 Zulhijjah 1447H bersamaan dengan 18 Mei 2026M. Program berkenaan disertai oleh seramai 37 orang peserta iaitu terdiri daripada pelajar dan alumni UNISSA sebagai inisiatif memperluaskan pendedahan kerjaya serta memperkukuhkan hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan sektor pekerjaan.
Penganjuran program ini bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para peserta melalui pendedahan mengenai pengenalan dadah, jenis-jenis dadah, undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah serta pengajaran yang dapat diambil daripada perkongsian kisah bekas penagih dadah. Selain menambah pengetahuan dan kesedaran dalam aspek pencegahan dadah, program ini juga menjadi platform kepada para peserta untuk memahami dengan lebih mendalam keperluan industri, budaya kerja profesional serta kompetensi yang diperlukan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini, khususnya dalam bidang penguatkuasaan narkotik.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mengikuti sesi taklimat khas yang disampaikan oleh Yang Mulia Pg Wisma Dino bin Pg Hamdan, Pegawai Narkotik berkaitan mengenai peranan organisasi, skop perkhidmatan, perkembangan semasa serta prospek kerjaya yang ditawarkan. Sesi berkenaan turut menyediakan ruang interaksi dua hala melalui sesi soal jawab, sekali gus memberi peluang kepada para peserta untuk memperoleh perkongsian pengalaman, nasihat berkaitan kerjaya dan kehidupan secara menyeluruh, serta panduan secara langsung yang disampaikan melalui pengalaman pegawai.
Selain itu, para peserta turut dibawa meninjau beberapa bahagian utama organisasi bagi menyaksikan pameran berkaitan dadah serta bahan-bahan tegahan. Lawatan tersebut bukan sahaja memberikan pendedahan secara praktikal mengenai persekitaran kerja, malah turut membantu peserta memahami realiti sebenar bidang kerjaya yang diceburi, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang lebih bersedia dalam menghadapi keperluan dan kehendak pasaran pekerjaan.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan sebagai tanda apresiasi kepada pihak Biro Kawalan Narkotik, khususnya Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah, atas kerjasama dan kesudian menerima lawatan delegasi UNISSA. Penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh Abdul Mujib bin Awang Sh’minan selaku Yang Di-Pertua Persatuan Alumni UNISSA kepada Yang Mulia Pg Wisma Dino bin Pg Hamdan, Pegawai Narkotik.
Melalui penganjuran program seperti ini, diharapkan para peserta dapat meningkatkan pengetahuan, memperluas jaringan (network), serta membina keyakinan diri dan tahap kebolehpasaran dalam merancang hala tuju kerjaya masing-masing. Program ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dadah, di samping memberi penekanan terhadap pembinaan masyarakat yang sejahtera, harmoni dan berdaya maju. Secara tidak langsung, ia turut mencerminkan komitmen berterusan UNISSA dalam melahirkan graduan yang holistik, kompetitif dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pembangunan negara.








