Khamis, 29 Januari 2026-Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berjaya menganjurkan satu syarahan jemputan bertajuk “Islamic Economics and Global Welfare” pada Khamis, 29 Januari 2026, bertempat di Bilik L1.3, UNISSA, dari jam 2.00 petang hingga 3.30 petang.
Syarahan jemputan tersebut telah disampaikan oleh Profesor Abuzer Pinar, Profesor Ekonomi dan Kewangan Awam dari Ankara Medipol University, Türkiye. Program ini telah dihadiri oleh pelajar Tahun 3 dan Tahun 4 program Final Year in Economics and Islamic Finance (FIEF) yang menunjukkan penglibatan aktif sepanjang sesi berlangsung.
Objektif utama syarahan ini adalah untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep kesejahteraan global dari perspektif Ekonomi Islam. Dalam pembentangannya, Profesor Abuzer Pinar telah menghuraikan konsep kesejahteraan berlandaskan Maqasid al-Shariah, dengan menekankan kepentingan keadilan sosial, keseimbangan ekonomi serta kesejahteraan manusia secara menyeluruh. Beliau turut menjelaskan peranan penting zakat, wakaf dan instrumen kewangan Islam dalam menyokong pembangunan sosial dan menangani ketidaksamaan ekonomi.
Sesi ini turut membuka ruang kepada perbincangan akademik dan pemikiran kritis, di mana para pelajar berpeluang mengemukakan soalan dan pandangan melalui sesi soal jawab yang interaktif. Syarahan ini telah memberi pendedahan berharga kepada pelajar mengenai aplikasi prinsip Ekonomi Islam dalam menangani cabaran kesejahteraan global masa kini.